Quantcast
Channel: salwasaleh.com
Viewing all articles
Browse latest Browse all 277

Dia sentiasa ada - Untuk Aku, Kamu dan Semua

$
0
0

​​
​2 November -

Jam sudah menunjukkan pukul 7.05 malam saat aku mengheret kaki yang sudah teramat penat ke dalam WORQ Space. ​Gila. Pemanduan yang patutnya tidak sampai 1 jam bertukar lebih dua jam akibat hujan lebat di petang Jumaat. Aku dari Putrajaya ke Glo Damansara kerana sesi latihan untuk BootCamp keesokan harinya.

"Hi akak. Sesat ye?" sapa organizer. Aku mengangguk.
"Dah macam balik kampung penatnya!" , aku masih mengomel. Sudahlah jem, sesat pula tu.

Aku mencari kerusi sambil melihat beberapa trainer lain sibuk menguruskan slides masing-masing sebagai persiapan akhir. Aku letakkan beg galas di atas meja, menyorong keluar kerusi putih, duduk dan hanya memandang tepat pada skrin utama.

Beberapa minit. Selepas habis lelah, aku bangun.
"Akak nak maghrib. Barang semua letak sini takpe kan?" aku pinta kepastian kemudian melangkah keluar dan mencari surau.

Aku ambil wudhu dan dirikan solat 3 rakaat.
Ruang surau yang kecil tapi selesa dan hanya beberapa orang sahaja ketika itu turut sama menghadap-Nya.

Usai solat aku hitung jemari. Menyelesaikan zikir yang biasa dilazimi.

Dan aku teringat peristiwa pagi tadi.
-----------------------------------
Baru seminggu yang lepas aku up satu status. Aku cerita betapa tidak murahnya kos belanja membesarkan 3 anak istimewa. Status yang aku tulis dalam kegusaran hati yang amat dengan situasi ketika itu. Mana nak cekau hampir RM2000 extra sebulan dengan komitmen yang memang sudah banyak tersedia di depan mata?

Gelora jiwa aku dan suami memang besar tapi aku juga tahu saat itu, apa terjadi biar aku kerja tak berhenti sekalipun, aku tetap akan cuba adakan wang itu, demi Israa' dan yang lainnya. Dalam pada itu aku dah berkira-kira, mana peruntukan bulanan yang patut diberhentikan untuk beri laluan bajet untuk persekolahan Israa'. Malah sampai rasa nak jual rumah!

Macam mana tak runsing, selepas diagnosis diterima, dan suami aku hantar permohonan Ogos lalu, Israa' hanya dimasukkan ke dalam waiting list untuk penempatan di Pusat Dalam Komuniti (PDK). Sejak dari itu aku cuba cari satu persatu tempat yang sesuai tetapi kosnya bukan calang-calang. Aku mohon doa sebanyaknya. Datangkanlah rezeki dari arah yang tak dijangka walaupun ketika itu nampak seperti jalan buntu.

Kerana itulah juga, bila aku dapat tahu dari suami minggu lepas, PDK panggil kami untuk suai kenal, terdetik harapan besar agar Israa' diterima di sana. Amat besar rahmatnya dan tidak terhitung rasa syukur kalau betullah diterima. Cuma pada hari ini, suami aku sudah ada sesi temuduga untuk satu program penting yang juga mampu mengubah hidup kami sekeluarga.

Dua agenda besar pada hari yang sama. Jumaat penuh berkah, aku harap pada keajaiban terindah.

Kami hantar Imran dan I'jaaz terlebih dahulu ke sekolah, kemudian singgah mengalas perut (atau mengurangkan debaran sebenarnya kerana perut tidak rasa lapar) dan menuju ke tempat temuduga. Suami aku turun dari kereta, sambil aku mengingatkan buatlah yang terbaik walaupun dia sudah tahu apa yang harus dilakukan. Aku pesan tetap tersenyum dan confident walau ridiculous mana sekalipun soalan yang ditanyakan. Dia angguk dan senyum. Kami bersalaman dan aku meneruskan perjalanan bersama Israa' dan Iyaad ke PDK ***** (lokasi dirahsiakan.)

5 orang anak-anak kelainan upaya yang dipanggil pagi itu. Aku bersama parents lain di bawa ke ruang atas untuk mendengar taklimat dan mereka dibiarkan di ruangan bawah bersama cikgu-cikgu di sana. Aku masih blur sebenarnya dan hanya bersedia menadah telinga. Sempat pula menghantar mesej kepada keluarga dan kenalan rapat, mohon doakan kebaikan. 

Aku lihat ada 5 file bersusun di atas meja. Satu file tertera nama Israa' dihulurkan kepada aku selepas aku menandatangani borang kehadiran taklimat. Aku duduk di barisan paling hadapan, menyelak file dan di dalamnya penuh borang. Jantung aku sudah berdegup kencang.

Sesi taklimat bermula. Minit-minit pertama, kata-kata aluan keluar dari mulut dari penyelia. Memberitahu sejarah itu dan ini dan aku tidak mengedipkan mata. Mengamati setiap butir bicara. Hinggalah bila diminta membuka file dan menyemak satu persatu borang, aku sudah tidak keruan. Mujur ada seorang ibu yang bertanya soalan yang bermain difikiran aku;

"Maaf Puan, saya nak tanya. Ini kiranya memang anak kami start tahun 2019 ke?"
"Tak Puan. Start bulan ni terus. Minggu depan dah boleh hantar"

Aku macam tak percaya. Aku pandang lagi pada muka penyelia.
"Kiranya anak kami dah diterima la ni ye?" aku pula menyoal minta kepastian.

"Ya. Betul tu"

Ya Rabb
Jantung aku lebih kencang!

Aku berpaling ke barisan belakang. Ibubapa lain mengangguk-angguk. Dan aku kembali merenung muka penyelia tadi dengan mata berkaca-kaca.
Hampir sahaja gugur air mata aku berderaian tetapi aku tahan. Sebak hingga dadaku sesak.

Saat itu mahu sahaja rasanya aku sujud syukur dan berteriak memuji Allah atas nikmat paling besar yang Dia berikan. Tapi Iyaad sedang lena dalam pangkuan aku.

"Allah..apa yang aku dan keluarga aku dah buat sampai Kau beri kami sebesar-besar kurnia?"

Selama ini yang aku minta dalam doa, biarlah Israa' dapat masuk ke PDK ini kerana belanjanya minima, malah urusan pengangkutan juga boleh diuruskan ayahnya. Biarlah tahun 2019 Israa' dapat belajar, kenal dunia, mampu makan dan minum dengan baik, mampu bermain dengan kawan, mampu uruskan diri sendiri dan dapat intervensi setiap hari. Biar pakar dan ahlinya yang lakukan, berbanding sekelumit ilmu yang aku tahu dan lakukan dengan terbatasnya waktu di rumah.

Sekarang bukan sahaja penempatan tersedia, malah boleh pula dimulakan segera. Masalah aku yang satu lagi juga turut selesai sama!

Allahu Allah.

Selesai taklimat, aku pulang ke rumah. Aku dirikan solat dua rakaat tanda syukur namun sayang belum sempat aku berterima kasih sepuasnya lagi kepada Tuhan, aku bergegas untuk mengambil suami yang sudah selesai temuduga. Keputusan hanya diketahui beberapa minggu atau mungkin beberapa bulan lagi. (Terus doakan kami ya.)

Selesai semuanya, selepas solat Jumaat dan makan tengahari, kesemua mereka beristirehat. Petang itu aku memandu ke Glo Damansara untuk sesi latihan dalam hujan lebat dan padatnya kenderaan di atas jalan. Aku keletihan. Setelah dua bulan, belum pernah sehari pun aku tidak bekerja. Tidak kira sabtu atau ahad, cuti umum atau cuti peristiwa. Sentiasa di hadapan telefon dan komputer riba. Menguruskan pelbagai kerja dan pelbagai keperluan rumahtangga.

Hingga aku tiba di sana jam 7.05 malam


-----------------------------------------
Aku masih menghitung dengan jari. Selepas solat Maghrib tadi, rasa sedikit lega. Mungkin kerana dapat bersila dan sujud pada-Nya. Hampir sempurna hitungan, jam azan di dinding surau berbunyi.

Serentak dengan itu aku berpaling kerana aku kenal amat surah ini.

الرَّحْمنُ...
عَلَّمَ الْقُرْآنَ...
خَلَقَ الْإِنْسانَ...

Kau memang tahu isi hati aku, bukan?
Kau tahu, aku tak mampu luahkan kerana kepenatan dan Kau beri bila aku sudah sedia.
Kau tahu, aku tak ada tempat lain untuk bergantung, hanya pada Kau sahaja.

فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ

Berulang lagi, berulang lagi dan lagi

Aku sudah tak peduli orang di kanan atau kiri
Saat itu tiada nikmat paling agung selain sujud padaMu
Air mata aku tumpah bagai bah
Aku rasa hangatnya Engkau memelukku
Memujukku dan menunjukkan sifat Rahman dan Rahim-Mu
Dan saat itu sekali lagi aku mengakui aku hanya hamba dan apa sahaja tindakanku tidak mampu membeli syurgaMu malah secalit pun tidak berupaya menebus rahmatMu
Hanya Kau pemberi teragung!!

Maka, nikmat Tuhan yang mana satu yang kau dustakan?

Nota: Gambar Israa' pada hari kejadiaan. Terima kasih atas doa semua. Kerana Israa' tidak sihat minggu ini, in sya Allah minggu depan baru dimulakan sesi persekolahannya. Terima kasih kerana selalu mendoakan. Terima kasih

Viewing all articles
Browse latest Browse all 277

Trending Articles