Quantcast
Channel: salwasaleh.com
Viewing all articles
Browse latest Browse all 277

Perginya seorang wira digital eUsahawan

$
0
0
Assalamualaikum wbt

Malam tadi, sekitar jam 10, kami dikhabarkan pemergian seorang rakan trainer di eUsahawan, Pn Shahrona yang lebih mesra kami sapa dengan panggilan Nona. Allahyarhamah Nona meninggalkan seorang suami dan 3 cahaya mata pada jam 9.40pm, 19 Januari 2018 di kediaman keluarganya setelah bertahun-tahun berjuang melawan kanser tahap 4.

Petang semalam, sebilangan rakan trainer termasuk saya bergegas ke Institut Kanser Negara (IKN) untuk melawat beliau yang dikhabarkan telah nazak. Rezeki tidak memihak kepada kami kerana kami tiba sekitar jam 6 sedangkan beliau telah dibawa keluar dari IKN menaiki ambulan untuk ke rumah keluarganya. Kami hanya berkesempatan menemui suami dan anak bongsunya, yang kelihatan tenang dan redha.

Sedih, sebak dan kagum

Allahyarhamah bukan sekadar seorang trainer yang biasa-biasa. Perjalanan mengenal beliau walau dalam tempoh singkat cukup untuk melihat betapa gigihnya Nona dalam menabur bakti. Allahyarhamah sentiasa komited, bertenaga, ceria dan tidak pernah nampak raut wajah kesal atau kesakitan akibat kanser.


Allahyarhamah Nona berdiri di sebelah saya

Saya mengetahuinya apabila di suatu hari, ketika break utk solat Zuhur sewaktu menghadiri ToT di Tech Mahindra Cyberjaya, melihat keadaan beliau yang sedang menunggu giliran mengambil wudhu'. Saya bertanya ringkas, 


"Sudah selesai sesi kimo?"


Semua orang tahu bila melihat seseorang dengan keadaan seperti itu. Nona mengangguk kemudian bercerita serba sedikit keadaan semasa. Saya tidak menunjukkan riak simpati atau sedih. Tidak layak saya pamerkan riak seumpamanya di hadapan seorang yang kuat dan kental seperti beliau. Yang perlu bagi orang seperti ini adalah kata-kata semangat, senyuman yang membawa kekuatan dan pelukan hangat mesra, meyakinkan.



Ketika Trainers Retreat di Janda Baik, Januari 2017. Nona bertudung merah

Beliau masih aktif dalam program eUsahawan dan lain-lainnya. Terakhir saya berkomunikasi dengan beliau adalah sekitar hujung Oktober, iaitu ketika saya melancarkan Projek Beg Sekolah musim ketiga. Beliau menghantar pesanan Whatsapp:


"Salwa, susah tak nak tubuhkan NGO?"


Kata saya, TIDAK. Cuma ada beberapa proses dan SOP perlu diikut untuk mendaftar. Nona mengiyakan. Dalam pada kesihatan beliau yang makin merosot, beliau tidak pernah putus semangat dan sentiasa ingin berbakti. Ya, allahyarhamah selalu menyantuni orang-orang miskin, gelandangan dan yang lainnya dengan projek yang dijalankan. Saya yakin, amal bakti ini yang membuatkan Nona istimewa di mata ramai orang dan moga inilah menghantar jalannya ke syurga.

Nona,

Selamat jalan wira digital!
Berehatlah dengan kerehatan sebenar.
Kami akan merindui Nona.

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

 Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..


Viewing all articles
Browse latest Browse all 277

Trending Articles