Assalamualaikum wbt
Fuh, entry kali ni saya nak tulis pun rasa segan ada terharu ada, semuanya ada lah! Bukan apa, tak pernah la pulak terlintas dalam fikiran saya akan dapat coverage begini. 3 pages article dalam surat khabar perdana ni, saya rasa sangat terharu.
Terima kasih banyak kepada wartawan Puan Intan yang sudi menemuramah saya. Saya rasa tidak lah fenomena mana pun rasanya hehehehe tapi saya bersyukur jika ada yang dapat manfaat dan inspirasi daripada apa yang berlaku dan yang saya usahakan. Itulah pun akhirnya tujuan semua perkara, membantu dan meringankan beban orang lain.
Saya nak cerita panjang pun tak pandai dah. Kaku jadinya.
Jika berminat nk baca boleh lihat link SALWA cetus fenomena atau baca terus di bawah ini ye
Terima kasih Harian Metro!
Fuh, entry kali ni saya nak tulis pun rasa segan ada terharu ada, semuanya ada lah! Bukan apa, tak pernah la pulak terlintas dalam fikiran saya akan dapat coverage begini. 3 pages article dalam surat khabar perdana ni, saya rasa sangat terharu.
Terima kasih banyak kepada wartawan Puan Intan yang sudi menemuramah saya. Saya rasa tidak lah fenomena mana pun rasanya hehehehe tapi saya bersyukur jika ada yang dapat manfaat dan inspirasi daripada apa yang berlaku dan yang saya usahakan. Itulah pun akhirnya tujuan semua perkara, membantu dan meringankan beban orang lain.
Saya nak cerita panjang pun tak pandai dah. Kaku jadinya.
Jika berminat nk baca boleh lihat link SALWA cetus fenomena atau baca terus di bawah ini ye
Terima kasih Harian Metro!
Gembira melihat orang lain gembira. Kalau dilihat dari raut wajah dan kesungguhan bercerita, Salwa Mohd Saleh bukanlah sembarangan wanita. Walaupun bergelar suri rumah, ibu kepada tiga anak lelaki ini ligat meneroka pelbagai ruang dan peluang semata-mata untuk membantu orang lain.
Mengenali Salwa menerusi laman peribadinya www.salwasaleh.com, wanita muda ini memang cukup luar biasa tidak kira di dunia maya mahupun di alam nyata. Tidak ada satu pun hasil penulisannya ke arah sia-sia melainkan untuk dijadikan panduan kepada wanita, ibu bapa dan masyarakat umum.
Malah perniagaan dalam talian yang dijalankan juga mempunyai daya tarikan tersendiri. Kalau orang lain sibuk mengepos barangan yang dibeli pelanggan, Salwa tambah sibuk membuat kad comel yang dilukis cantik sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berurus niaga dengannya.
Justeru, tidak hairanlah kalau inisiatif gergasi seperti Projek Beg Sekolah (PBS) 2016 diasaskan sendiri oleh Salwa. Program amal ini sebenarnya sudah mula mendapat tempat di hati masyarakat sejak siri pertamanya menjadi viral di laman Facebook tahun lalu.
Menurut Salwa, idea melaksanakan PBS datang secara spontan ketika beliau pulang dari menghantar anak sulungnya ke sekolah, tahun lalu.
“Kalau diikutkan, saya memang banyak melaksanakan projek berskala kecil untuk membantu mereka yang memerlukan. Kebetulan pada 2014, beberapa negeri berdepan musibah banjir besar dan Kelantan menjadi antara negeri yang terjejas teruk.
“Saya mengambil inisiatif memperkenalkan projek Banjir Box untuk menampung keperluan mangsa banjir. Begitupun, Banjir Box hanyalah permulaan kepada kerja amal berskala sederhana, sehinggalah munculnya idea PBS,” katanya.
Jelasnya, kreativiti melaksanakan PBS berkembang apabila melihat penghujung 2015 tenang daripada bencana banjir. Tambahan kerajaan pula dilihat mengambil langkah pencegahan awal hinggakan tiada satu ruang kebajikan yang boleh ditokok tambah.
“Otak saya ligat memikirkan apa yang boleh dibuat untuk 2015. Jadi, pada hari berkenaan, ketika saya membuka pintu pagar rumah, terdetik dalam hati, alangkah bagusnya kalau boleh buat PBS. Beg tidak memerlukan saiz atau ukuran tertentu seperti baju dan kasut sekolah.
“Kalau beg jadi pilihan, sudah tentu siapa saja boleh pakai. Kemudian, saya spontan masuk ke rumah dan memuat naik status Facebook, bertanya kalau ada sesiapa yang mahu menyertai PBS. Untuk permulaan, saya sasarkan hanya 300 beg sekolah.
“Namun tanpa disangka, status berkenaan menjadi viral sehingga saya berjaya menarik 69 sukarelawan atau ‘focal person’ untuk membantu pelajar kurang mampu dan miskin bandar serta luar bandar di 101 kawasan, seluruh negara.
“Melalui kerjasama itulah, PBS menempah nama dan saya dipanggil untuk sesi temuramah dalam program Assalamualaikum, Malaysia Hari Ini dan dijemput sebagai tetamu oleh pihak Astro Awani serta Radio Televisyen Malaysia (RTM). Kemuncaknya, kami berjaya merekodkan sumbangan 3,635 beg sekolah, iaitu lebih 10 kali ganda daripada sasaran awal PBS,” katanya.
Melihat kejayaan cemerlang yang diraih pada 2015, tahun ini Salwa memperkenalkan PBS lebih awal, pada 25 Oktober lalu. Pendaftaran sukarelawan turut dibuka sehingga 18 November dengan sasaran 10,000 beg sekolah.
“Alhamdulillah, selepas pencarian sukarelawan ditutup, kita dapat seramai 135 sukarelawan yang bertanggungjawab mengumpul sumbangan dan membuat agihan di 215 kawasan seluruh negara. Jumlah kawasan memang selalunya lebih besar daripada angka sukarelawan kerana ada lokasi yang jaraknya berdekatan.
“Kali ini saya tetapkan syarat, tugas dan jangkaan yang lebih tinggi seiring sasaran yang hendak dicapai. Pada saya, PBS ini kerja serius kerana ia bukan sekadar kerja amal, tetapi kita sendiri menjadi jambatan penghubung kepada amanah dan sumbangan orang ramai,” katanya
Selidik latar belakang sukarelawan
Memilih sukarelawan menjadi antara tugas paling mencabar buat Salwa kerana majoriti individu yang diambil untuk serahan tugas PBS adalah orang yang tidak dikenali. Kebanyakan mereka adalah pengikut laman Facebook dan mengetahui PBS menerusi mesej yang disebarkan di media sosial.
“Suka atau tidak, saya dan beberapa rakan terpaksa menyelidik latar belakang setiap pemohon untuk melihat sama ada mereka ini benar-benar boleh dipercayai dan komited menjalankan amanah dengan jujur. Apabila lulus semua ujian dan menepati syarat, barulah mereka ini layak menjadi sukarelawan PBS.
“Ada masanya, kita juga bimbang dengan pelbagai hebahan luar biasa. Ini kerana semakin luas hebahan, maka akan lebih besar jumlah permintaan beg berbanding sumbangan diterima. Sebab itu kita perlu bekerja keras di samping mengalu-alukan sumbangan tidak kira daripada individu, badan berkanun, kerajaan, syarikat korporat, agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) lain,” katanya.
Dengan sasaran 2016 yang mencecah angka puluh ribu, Salwa berkata, pihaknya kini ligat mengumpul lebih banyak sumbangan menerusi kerjasama beberapa NGO dan syarikat korporat. Untuk tujuan itu, PBS menyediakan carta dan laporan mingguan untuk rujukan pihak berminat dari semasa ke semasa.
“Tidak kira sama ada penyumbang atau pihak yang memerlukan beg sekolah, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman Facebook Projek Beg Sekolah. Laman berkenaan juga ada gambar serahan beg yang dibuat di beberapa lokasi sebagai bukti kepada masyarakat yang sudah menyumbang.
“Senarai penerima beg biasanya ditentukan pihak sekolah kerana mereka mempunyai rekod dan lebih mengenali latar belakang murid masing-masing. Bagaimanapun, kita juga menerima permohonan individu perseorangan. Sama seperti pemohon lain, mereka ini akan dipertimbang dari sudut latar belakang, pendapatan isi rumah dan bilangan anak untuk melihat sama ada layak menjadi penerima.
“Itupun sekadar memenuhi prosedur kerana kebiasaannya yang memohon memang orang susah. Penting diketahui bahawa soal kelayakan ini juga bergantung kepada lokasi. Kadang-kadang kita lihat keluarga itu tidaklah sesusah mana, tetapi selepas menimbang pendapatan isi rumah, faktor tinggal di bandar besar, mempunyai anak ramai, jadi kita beri sebab mereka ini sebenarnya tergolong dalam kalangan miskin bandar,” katanya.
Letak kepercayaan kepada sukarelawan
Secara peribadi, Salwa mengakui beliau seronok apabila dapat menolong orang. Kehidupan sukar pada masa lampau juga banyak mendorong dirinya melakukan pelbagai aktiviti kebajikan.
“Saya faham betapa ramai orang yang susah, tercicir dan sebagainya. Malah saya sendiri mula membantu keluarga bekerja di sawah dan ladang pada usia enam tahun untuk mendapatkan upah bagi membeli peralatan
sekolah. Jadi, saya tahu bagaimana perasaannya kalau budak-budak dapat beg baru.
“Ia umpama ‘saat magis’ untuk mereka sebab tidak semua orang mampu memakai kelengkapan baru setiap tahun. Apatah lagi mereka ini datang daripada keluarga miskin. Dalam sesetengah kes, ibu bapa murid menangis apabila anak dapat beg baru. Justeru, kegembiraan dan senyuman merekalah bayaran pada PBS.
“Saya puas apabila dapat memberi. Namun melakukan semuanya seorang diri bukanlah perkara yang mudah. Kerana itulah saya mempelawa mereka yang mempunyai semangat dan keinginan yang sama untuk bersama-sama sebagai sukarelawan.
“Mereka adalah orang yang jiwa raganya suka membantu tanpa mengira penat lelah. Apabila wujud kumpulan PBS, kita seolah-olah menjadi ahli keluarga dan kerap berhubung untuk bertanya itu dan ini,” katanya.
Paling menarik, sukarelawan yang menyertai PBS sejak 2015 juga bukanlah sembarangan orang. Ada yang bergelar suri rumah, doktor, guru, jurutera dan memegang jawatan besar lain. Sekalipun terikat dengan komitmen lain, mereka tetap komited melakukan kerja amal bersama PBS.
“Bayangkan, apabila mula menyiarkan status PBS di Facebook, ramai yang memohon untuk turut serta dan hingga ke hari ini majoriti sukarelawan adalah individu yang saya tidak pernah kenal, inikan pula berjumpa.
“Secara tidak langsung semangat saya jadi berkobar-kobar. Ternyata Allah SWT mempermudahkan niat saya untuk mengajak orang ramai turut serta membantu masyarakat. Paling utama saya mahu masyarakat kita mengubah pemikiran masing-masing ke arah positif.
“Daripada mengomel yang bukan-bukan di Facebook, eloklah berhenti menyalahkan mana-mana pihak dan sebaiknya mulakan inisiatif baru dengan membantu orang yang memerlukan. Ambil bahagian dan tanggungjawab untuk turut serta membentuk masyarakat,” katanya.
Salwa berkata, beliau dan barisan sukarelawan tidak mendapat sebarang faedah daripada PBS. Tidak kira sama ada kos minyak, pengangkutan mahupun bayaran tol, semuanya ditanggung sendiri.
“Pada kami, senyuman, sorak tawa dan air mata kegembiraan ibu bapa dan anak-anak yang menerima sumbangan itu adalah bayaran paling berharga. Selain itu ramai juga penyumbang yang datang kepada saya dan sukarelawan mengucapkan terima kasih kerana membuka ruang kepada mereka untuk sama-sama memberi kepada masyarakat.
“Saya juga bersyukur kerana mempunyai suami dan anak sebagai tulang belakang. Dalam kesibukan menguruskan PBS, suami sanggup menerima keadaan rumah yang kadang kala tidak terurus sepenuhnya, malah sentiasa memberi semangat dan galakan untuk melakukan yang terbaik.
“Anak-anak juga faham dengan kesibukan saya. Mereka faham apabila saya kata sibuk melakukan kerja untuk menolong orang yang susah. Ada waktunya mereka turut serta membantu terutama ketika membeli beg sekolah dan saya harap anak-anak akan belajar sesuatu dari apa yang saya lakukan sekarang,” katanya.